Rabu, 29 Januari 2014

Husam PAS sokong perhimpunan Black505 Ahli penyokong digesa hadir

June 18, 2013
PAS menyokong perhimpunan besar-besaran #Black505 Pakatan Rakyat (PR) di Padang Merbok, Kuala Lumpur yang akan diadakan pada 22 Jun untuk membantah dakwaan penipuan Pilihan Raya 2013.
Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menggesa seluruh ahli dan penyokongnya untuk bersama-sama dalam perhimpunan itu walaupun masih belum jelas sama ada pihak berkuasa akan membiarkan ianya berjalan dengan lancar.

"Keputusan untuk menyertai himpunan ini bukan keputusan Husam Musa, bukan keputusan Haji Mohamad Sabu tetapi keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk menyokong Blackout505," kata Husam dipetik dari portal Harakahdaily.

"Andaikata kita terkorban, atau satu daripada kita terkorban, insya Allah ia adalah syahid fi sabillah," tegas Husam Musa.

Husam menjelaskan, bukan menjadi niat PAS untuk terkorban dalam perhimpunan itu akan tetapi penipuan pilihan raya mesti dihentikan.

Sebelum ini hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR yang dilihat bersungguh-sungguh dalam menjayakan perhimpunan #Black505 dan sokongan PAS dijangka akan menambahkan lagi kekuatan bantahan itu.
Bekas calon kerusi Parlimen Putrajaya itu turut menegaskan, PR tidak boleh berdiam diri dengan penipuan yang dilakukan dalam pilihan raya umum 13 lalu.

"Kalau kita berdiam diri kerana telah menang menguasai kerajaan (negeri), kita pengkhianat kepada perjuangan.
"Kalau pengerusi SPR tak nak letak jawatan, Najib kena letak jawatan. Kalau kedua-dua letak jawatan, Alhamdulillah, itu lagi baik. Atas sebab itu, tidak mustahil Najib letak jawatan," tegas Husam.

PR telah mengadakan perhimpunan besar-besaran #Black505 di seluruh negara semenjak 8 Mei untuk memperotes dakwaan penipuan dalam Pilihan Raya 2013 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa walaupun kehilangan undi popular.

Minggu lepas Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mengatakan perhimpunan #Black505 akan terus diadakan di Padang Merbok pada 22 Jun walaupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengatakan mereka akan menggunakan lokasi itu untuk larian mereka.

Rafizi juga mengatakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberitahu PR Padang Merbok hanya ditempah dari 6.00 petang ke atas pada 22 Jun, bercanggah dengan kenyataan MOM baru-baru ini persediaan logistik untuk larian olimpik McDonald 23 Jun akan bermula pada 21 Jun. – 18 Jun, 2013

Tidak ada komentar:

Posting Komentar