Minggu, 09 Februari 2014

Makan nasi berulat dalam penjara

myMetro

 
SEPANG: “Saya serik di dalam penjara negara itu kerana kadangkala terpaksa makan nasi yang berulat disebabkan kapisiti penjara terlalu padat dan ramai,” kata mangsa keldai dadah K Punithamani, 55, yang selamat pulang ke tanah air, selepas meringkuk empat tahun di dalam penjara di Peru.
Dia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, jam 3.30 petang semalam, diiringi Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh dan dua wakil pergerakan berkenaan.

Namun, sebaik tiba di KLIA dan sebelum dibenarkan keluar dari lapangan terbang itu, dia terpaksa menjalani proses soal siasat selama hampir tiga jam oleh Polis Antarabangsa (Interpol), Jabatan Narkotik dan Jabatan Imigresen. “Saya tidak sangka dapat pulang ke bumi Malaysia, saya sangka saya akan mati di Peru. Terima kasih kepada semua yang terbabit dalam proses membawa saya pulang,” katanya yang dibawa pulang tinjauan bantuan Kementerian Luar dan Pergerakan Pemuda Umno.

Punithamani dari Kuala Lumpur, dikatakan terjerat menjadi mangsa keldai dadah selepas dia terpedaya dengan satu sindiket yang menggunakan modus operandi menawarkan peluang perniagaan berunsurkan emas dan berlian pada 2007. Disebabkan percaya dengan pihak terbabit, pada tahun berkenaan dia tidak teragak-agak untuk menjalankan urusan berkenaan di Sepanyol, sebelum diminta ke Peru bagi mendapatkan stok barangan, kononnya membabitkan emas dan berlian. Namun, sebaik tiba di negara Amerika Selatan itu, dia dipaksa oleh dua lelaki bersenjatakan pistol untuk membawa sebuah beg ke Itali pula. Tetapi, di lapangan terbang di Peru iaitu dalam perjalanannya ke Itali, dia ditahan pihak berkuasa negara berkenaan, sebelum didapati bersalah, sekali gus dijatuhi hukuman penjara empat tahun sehingga 2010. Selepas dibebaskan dari penjara, dia terpaksa menjalani perintah parol selama dua tahun dan menetap di Gereja Convent. Sebaik tamat hukuman pada April lalu, dia dikehendaki meninggalkan Peru kerana jika tidak, dia boleh dipenjarakan semula atas kesalahan tinggal secara haram di negara berkenaan.

Punithamani yang kini menarik nafas lega turut mengambil kesempatan menasihatkan semua rakyat Malaysia terutama wanita supaya berhati-hati jika ingin membabitkan diri dalam sebarang bidang perniagaan supaya tidak terjebak dalam kancah tidak sepatutnya.

“Siasat dulu segala maklumat mengenai mereka yang terbabit supaya tidak melalui nasib malang seperti dialami saya,” katanya.
Sementara itu, Muhd Khairun berkata, nasib malang menimpa wanita terbabit adalah satu contoh kes sindiket dadah yang menjadikan wanita sebagai keldai dadah, tetapi kali ini membabitkan warga tua.

“Kami menyeru pihak kerajaan supaya lebih tegas mengenai kemasukan warga asing ke negara ini terutama dari Amerika Selatan dan Nigeria,” katanya.


Tidak ada komentar:

Posting Komentar