Senin, 30 Desember 2013

Tom Cruise Saman Media Jerman


Los Angeles – Pelakon terkenal Amerika Syarikat, Tom Cruise menyaman sebuah media Jerman yang menuduhnya mengabaikan sama sekali anak perempuannya, Suri selepas bercerai dengan aktres Katie Holmes.

Curise menuduh laporan Bauer Publishing Company sebagai palsu, fitnah dan satu pencerobohan peribadi ke atasnya dalam saman yang difailkan pada 2012.

Dokumen mahkamah mendedahkan sedikit mengenai perkahwinan aktor itu dan pegangan Scientology.
Cruise menegaskan, beliau tidak pernah membuang Suri daripada hidupnya sama ada secara fizikal, emosi, kewangan atau lain-lain.

Perisytiharan itu difailkan di mahkamah persekutuan California minggu ini sebagai sebahagian daripada saman berterusan yang menuntut ganti rugi AS$50 juta (RM158 juta).

Dalam paparan video September lalu sebagai sebahagian saman, kehidupan Cruise dengan Holmes dan Suri diberi perhatian.

“Adakah beliau memilih Scientology daripada Suri? Ditinggalkan oleh bapa.’ Tolonglah, laporan itu amat menjijikkan.

“Saya bersyukur dengan kehidupan yang saya pilih dan itulah yang saya percaya. Namun, semua perkara ada hadnya. Saya meminta mereka meminta maaf dan supaya ia ditarik balik. Mereka menolaknya,” kata Cruise dalam rakaman video itu.

Alasan mohon cerai

Dalam transkrip mahkamah, pelakon berusia 51 tahun itu berkata walaupun Holmes, 34, mengamalkan ajaran Scientology sebelum dan ketika mereka berkahwin, aktres berkenaan meninggalkan pegangan itu apabila memfailkan perceraian.

Katanya, salah satu alasan ketika Holmes memohon cerai ialah beliau mahu melindungi Suri daripada pengaruh Scientology. Cruise menambah, Suri, 7, tidak mengamalkan ajaran itu.

Saman itu difailkan selepas majalah syarikat itu menyiarkan Cruise mengabaikan Suri berikutan perceraian mereka pada 2012.

Antara penerbitan Bauer termasuk majalah selebriti Amerika Syarikat, Life & Style, dan InTouch Weekly.
Transkrip mahkamah daripada rakaman 9 September lalu menunjukkan Cruise cuma bersama Suri selama 10 hari dalam tempoh lima bulan selepas Holmes menuntut cerai pada Jun 2012.

Aktor itu berkata, beliau menganggap persoalan sama ada Holmes meninggalkannya dan Scientology untuk melindungi anak mereka sebagai ‘menghina’ dan berkata ada banyak perkara yang menyebabkan perceraian. – REUTERS

Tidak ada komentar:

Posting Komentar